Kami di Seville
Hari ketiga pengembaraan kami. Destinasi
Seville, atau
Sevilla
dalam bahasa tempatan. Sevilla tidak mempunyai tempat bersejarah yang
menarik, cuma sebuah monumen menara berkubahkan emas yang
bersinar-sinar di kejauhan. Saat kami mula terasa bosan dan mengorak
langkah ke arah stesen bas untuk mengambil bas ke Cordoba, tiba-tiba
kelihatan sebuah bangunan besar berbentuk seakan istana, bertulis:
Plaza De Toros.... Bullfight ring.
Menurut pemerhatian aku, Plaza Del Toros di Seville tidaklah secantik
Plaza Del Toros di Granada, tetapi ia cukup menarik, lebih menarik
daripada Granada, kerana dibuka untuk para pengunjung!
Rombongan para pelawat dipimpin oleh seorang wanita yang menerangkan
segala-galanya dalam Bahasa Sepanyol kemudian barulah dalam Bahasa
Inggeris untuk
accommodate
kami yang tidak pandai berbahasa tempatan. Menurut beliau, sukan
bullfight yang merupakan sukan rasmi negara Spain lahir daripada
latihan tentera pada zaman dahulukala.
"As you can see" kata beliau dalam bahasa Inggeris berloghatkan Sepanyol sambil menunjukkan beberapa replika kepala manusia yang menyeramkan,
"Those
heads are suspended on a rope and the soldiers have to try to wound it
while on a horseback. This is later substituted with a bull as a part
of higher training regime. Later this inspired the sport we know now as
bullfight"
Plaza Del Toros itu
punya segala-galanya. Bilik hospital untuk peserta yang tercedera,
chapel untuk mereka bersembahyang, kandang lembu dan kuda, serta, sudah
pastinya, sebuah arena besar, seakan-akan stadium bolasepak kecuali
berbentuk bulat. Di sinilah para 'perwira' negara Spain ber'juang'
menentang lembu-lembu jantan yang cukup ganas! Menurut petugas pelawat
kami yang manis itu, kebanyakan 'matador' mati tika usia muda, dan
kebanyakan mereka mati akibat dibunuh lembu jantan. Maka hidup mereka
hanyalah untuk gelanggang luas itu, menghiburkan orang ramai dengan
'keberanian' mereka.
Sungguh, dunia ini penuh dengan orang-orang yang menakjubkan...
Kami tidak menginap di Seville, sebaliknya terus menaiki bas untuk ke
Cordoba. Destinasi yang meninggalkan kesan cukup mendalam dalam diri
kami sebagai umat Islam...
Cordoba Kira-kira jam 9 malam kami tiba di bandar Cordoba. Terus
check-in di
Hotel Boston yang terletak di tengah-tengah bandar. Satu-satunya hotel tempat menginap kami sepanjang pengembaraan merentasi Spain.
Hari pertama di Cordoba kami bersiar-siar di bandar tersebut.
Barang-barang di Spain sangat murah, maka kami mengambil kesempatan
untuk membeli-belah untuk diri sendiri dan keluarga di Malaysia.
"Alamak macam mana ni Sali, Ely tak tahu nak pilih yang mana...."
"Adalah haram bagi umat Islam menziarahi Palestin tanpa menyimpan
sekelumitpun azam untuk menawannya kembali daripada tangan orang kafir.
Aplikasikan pada semua negeri yang pernah dijajah Islam dan kini
terjajah semula oleh orang kafir. Termasuklah Spain"
Aku teringat kata-kata tersebut apabila kaki menjejak bumi Cordoba,
letaknya di selatan Spain. Juga dikenali dengan nama asalnya
alQurtubah, Cordoba menyimpan satu monumen pilu yang tersergam indah di tebing sebatang sungai yang merentasi bandarnya.
Letaknya kira-kira sepuluh minit berjalan kaki dari hotel kami.
La Mezquita Cathedral. Nama rasminya sekarang adalah
The Cathedral, namun sensitiviti masyarakat tempatan masih belum hilang, mereka masih menamakannya
La Mezquita, "The Mosque". Dibina di zaman
Abdul Rahman II, dan
diteruskan oleh anak cucu baginda selama hampir dua abad lamanya,
barulah La Mezquita siap seperti yang disaksikan sekarang.
La Mezquita
Dari luar apa yang kami saksikan adalah sebuah masjid purba yang
tersergam indah, punya struktur dan senibina yang diinspirasikan oleh
arkitek-arkitek Islam pada zaman itu. Namun di puncak minaretnya ada
lambang-lambang Nasrani...menggantikan bulan sabit yang telah gerhana
dan bintang lima bucu yang telah pudar kelipnya...di bumi Andalus ini.
Kerana ingin mengelak daripada membayar yuran kemasukan sebanyak lapan
euro, kami tiba di sana sebelum jam 10 pagi. Masjid purba itu masih
kelihatan indah walaupun dimamah usia. Berpuluh, mungkin beratus-ratus
tiang bermotifkan pohon palma dicat warna tanah dan merah muda.
Menunjukkan arah ke BaitulLah. Cantik sekali. Aku seakan-akan boleh
melihat beratus-ratus ahli jemaah bersusun atur dalam barisan-barisan
yang kukuh, menyembahkan dahi mereka ke bumi serentak tatkala bibir
masing-masing berbicara mulus dengan Yang Maha Esa..."ALLAHU AKBAR"....
Mengenang semula saat-saat masjid indah ini masih digunakan untuk menyembah Yang Maha Esa
Namun mimpi indah itu hancur berderai, kerana semakin dalam kami
memasuki La Mezquita semakin kelihatan berhala-berhala orang-orang
Kristian mencemari tempat yang pernah menjadi rumah suci umat Islam
suatu masa dahulu. Seakan serentak dengan itu, kedengaran bunyi organ
mendayu-dayu bersama-sama suara garau paderi berbicara dalam bahasa
tempatan. Di tengah-tengah masjid, ya, betul-betul di tengahnya,
ada sebuah
chapel dibina
beserta berpuluh-puluh patung berhala...di situlah sumber bunyi organ
dan suara yang meremangkan bulu roma kami serta memecahkan ketenangan
La Mezquita.
Di beberapa sudut terdapat barang-barang
pameran, menunjukkan keadaan masjid pada zaman dahulu, ukiran-ukiran
dan sebagainya. Di antara barang-barang terbabit terdapat dua pagar
besi berwarna hitam memagari mimbar dan mihrab masjid terbabit.
Sekeliling mimbar tersebut terukir dengan tulisan emas, nama-nama ALLAH
yang indah. Asma' ul husna. Juga ayat-ayat suci al-Quran. Indah sekali.
Mimbar dan mihrab itu terasa begitu jauh dari capaian kami, kerana
barisan umat Islam yang dahulunya tersusun kukuh kini telah hancur
berderai. Kalaulah aku punya kuasa mahu sahaja segala patung berhala di
situ ku hancurkan, tetapi mustahil itu semua akan terjadi seandainya
berhala-berhala di hati manusia masih belum di musnahkan...
Posted at 02:02 am by al-huda